Tuesday, January 15, 2013

Bagaimanakah Hasilkan Motion Komik?

Oleh: Syafiq Bakri Tarikh: 12 Disember 2012

 Bagi yang pertama kali mendengar istilah motion komik ini, ia ialah satu bentuk komik yang menggabungkan unsur-unsur komik pencetakan konvensional biasa dan animasi. Bagi yang masih belum jelas berkenaan konsep motion komik ini dan apa pula dengan animasi biasa, teruskan pembacaan anda. Perbezaan ketara Generasi awal motion komik ini dipelopori dengan persembahan daripada bahan mentah (ilustrasi komik) daripada komik bercetak itu sendiri, tetapi ia menggunakan gerakan animasi yang minimum yang sudah cukup untuk menarik perhatian penonton untuk terus setia mengikuti setiap episod yang ditayangkan Perbezaan dengan versi animasi sebenar dapat dilihat daripada ilustrasi motion komik itu sendiri, ia masih mengekalkan keaslian komik bercetak tanpa terlalu kelihatan seperti animasi asli biasa sepenuhnya. Selain itu, suara dan muzik bantuan yang tidak keterlaluan juga memberikan impak yang cukup besar terhadap motion komik. Teknik penyampaian yang digunakan juga memiliki sesuatu keajaiban yang membuatkan si penonton dapat merasakan mereka berada di alam komik itu sendiri walau pun pada hakikatnya mereka sedang menonton di desktop, komputer riba atau pun tablet mereka. Walaupun begitu, perbezaan antara generasi awal motion komik ini dilihat semakin berubah mengikut kecanggihan teknologi animasi yang digunakan yang semakin berkembang mengikut peredaran masa. Pelopor awal Contoh-contoh antara motion komik yang terawal dipelopori adalah sejak tahun 2001 lagi. Tetapi konsep itu sebenarnya telah mula-mula diperkenalkan semenjak pertengahan tahun 1960 dengan komik sains fiksyen daripada Philip K. Dick (The Zap Gun). Tetapi, pada tahun 2005, versi motion komik yang telah mengalami evolusi telah dikeluarkan oleh Lions Gate yang menghasilkan animasi komik Saw: Rebirth, salah satu animasi komik terawal yang dicipta untuk diterapkan dalam francais filem. Selepas itu, muncul beberapa nama besar seperti Warner Bros mulai ikut serta. Sehinggalah tahun 2012, pelbagai versi motion komik telah dihasilkan dan boleh ditonton. Beberapa motion komik telah berjaya menarik perhatian tontonan ramai daripada pelbagai genre. Antara yang memiliki peminatnya yang tersendiri adalah motion komik Axe Cop daripada Malachai Nicolle dan Ethan Nicolle dengan tinjauan di Youtube mendapati angka viewer yang menonton pada setiap episodnya mencecah hampir 200 ribu kali. Selain itu, karya motion komik dari Marvel juga memiliki peminat yang tersendiri. Salah satu episod yang ditayangkan Astonishing X-Men Motion Comic: Gifted-Episode 1 mencatatkan viewer sehingga hampir 500 ribu kali. Saranan kami, anda patut cuba mengikutinya. 7 Langkah Penghasilan Sebenarnya ini ialah platform yang boleh dipelopori sesiapa sahaja kerana pembikinannya tidak terlalu rumit seperti animasi biasa yang kadang kala memakan masa berbulan-bulan. Kos pembikinannya juga tidak terlalu besar cuma bergantung pada idea, kemahiran dan kemudahan yang anda miliki. Bagi yang memiliki kepentingan pekerjaan atau pun sekadar ingin mencuba-cuba, kami berikan tip untuk anda bagaimanakah untuk menghasilkan motion komik sendiri yang mana tahu mungkin menjadi kegilaan penonton-penonton di Malaysia nanti.


 1) Isu rangka
Bagi yang ingin menghasilkan motion komik sendiri, perkara pertama yang perlu dilakukan menyediakan isu dan rangka komik yang akan dihasilkan motion komik itu terlebih dahulu. Ia akan melengkapkan portfolio bagi memastikan anda memiliki sesuatu naskhah karya yang benar-benar akan menyengat.

2) Analisis skrip
 Skrip penting untuk sebuah motion komik yang baik kerana sama ada anda ingin mengubahnya dengan memasukkan suara watak atau pun mengekalkan skrip dalam bentuk tulisan, ia perlu sedikit terperinci bagi memastikan apa yang hendak disampaikan oleh anda sampai kepada penonton. Oleh itu, skripnya perlu dikemas kini mengikut rangka yang telah anda sediakan. Selain itu, anda perlu menjadikan pecahan skrip dalam bentuk yang mudah untuk diolah menjadi artwork kelak.

3) Storyboard
 Ini bahagian terpenting dalam pembikinan motion komik kerana seperti animasi, ia akan memberikan gambaran awal secara visual yang akan mewakili skrip yang telah ditulis. Selalunya, apa yang dilakarkan di storyboard akan mewakili sepenuhnya apa yang akan dipaparkan di motion komik anda nanti. Jika ada pembetulan ataupun pengubah suaian yang dirasakan perlu, proses itu perlu dilakukan ketika pada langkah ini.

4) Reka bentuk
 watak dan persekitaran Tentukan bagaimana watak-watak dan persekitaran yang melingkari motion komik anda akan kelihatan. Tentukan secara tetap kerana ia bakal menjadi wajah kepada motion komik anda sepenuhnya apabila dalam proses pembuatan kelak. Ketika di proses ini, anda perlu tetapkan warna, props dan sebagainya yang dirasakan membantu persembahan motion komik anda kelak.

 5) Artwork untuk motion komik
 Hasilkan komik biasa terlebih dahulu untuk dijadikan sebagai motion komik dengan berlandaskan kepada stoaryboard yang dirangka dalam langkah terdahulu. Selain itu, anda perlu untuk mengasingkan artwork untuk dianimasikan, yang mana ia akan berada dalam lapisan yang berlainan sebagai panduan anda ketika menjadikan motion komik.

 6) Animasi
Lazimnya, langkah ini dilakukan dengan bantuan perisian Adobe After Effects atau pun Adobe Flash dengan menambahkan kesan Visual F/X (VFX) seperti yang diperlukan. Jadi, anda perlukan sedikit kemahiran mengendalikan perisian ini bagi memastikan ia menghasilkan hasil yang baik.

7) Editorial
 Rangkumkan keseluruhan animasi bersama-sama efek suara (SFX) yang bersesuaian. Kemaskan karya anda dengan membuat rujukan ke atas pelbagai karya motion komik yang telah dihasilkan sebelum-sebelum ini untuk mendapatkan idea yang lebih baik. Kini anda sudah memiliki motion komik anda sendiri.

No comments: